Monday, July 18, 2022

Perbahasan Rang Undang-undang Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pembubaran)

Perbahasan Rang Undang-undang Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pembubaran) oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera YB Wong Hon Wai pada 18.07.2022.

Video here: https://fb.watch/e-fHkKlX8U/

Rang Undang-undang Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017 atau singkatannya AKSEM dibentangkan bacaan kedua dan ketiga pada 9 Ogos 2017. Saya berkesempatan membaca Hansard pada hari tersebut. Pada hari itu, ia tidak sampai lima tahun Parlimen membahaskan pula pembubaran AKSEM. Mantan Menteri Dalam Negeri pada waktu itu ialah Menteri Bagan Datuk memperkenalkan Rang Undang-undang AKSEM, menyatakan satu agensi khusus diwujudkan supaya kegiatan penyeludupan atau aktiviti-aktiviti lain yang menyalahi undang- undang di sempadan darat negara dilaksanakan lebih efektif.
Tuan Yang di-Pertua, tiada satu negara pun di dunia apabila ditubuhkan satu agensi kawalan sempadan, kemudian dalam lima tahun bubarkan. Tidak ada satu negara buat. Malaysia negara yang pertama ditubuhkan Agensi Kawalan Sempadan spesifik tetapi lima tahun kemudian dibubarkan.
Masyarakat menanya-nanyakan sama ada kos benefit analysis telah dibuat sama ada satu analisis sebelum penubuhan AKSEM telah dibuat tentang analisa sebelum itu. Kenapa pula what’s been wrong, apakah rasional pembubarannya dan apakah rasional penubuhannya sehingga lima tahun kemudian dibubarkan. Sama ada Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri hari ini daripada Parti Bersatu Perikatan Nasional dengan bekas Menteri Dalam Negeri sebelum ini daripada UMNO adakah terdapat masalah.
Itu brainchild mantan Menteri Dalam Negeri dari parti UMNO Bagan Datuk sama ada, ada masalah sehinggakan pembubaran satu agensi yang khusus. Persoalan kedua saya, apakah implikasi pembubaran dan apakah implikasi kewangan terhadap pembubaran ini memandangkan signboard bangunan kena diturunkan, letterhead kena ditukar, perjawatan kena tukar, nama yang tercatat atas aset-aset kena tukar, uniform kena tukar tetapi di dalam bill, rang undang-undang ini dikatakan implikasi kewangan tidak akan melibatkan kerajaan dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan. Masa tidak ada implikasi kewangan yang sebenarnya penubuhan tersebut selama lima tahun ini, wang begitu banyak telah dibazirkan. Ditubuhkan satu agensi kemudian dibubarkan lima tahun kemudian.
Border control atau kawalan sempadan. Kemasukan pendatang asing tanpa izin, pemerdagangan manusia, penyeludupan dan saya ingin bertanyakan Ops Benteng telah ditamatkan pada Jun 2022. Kebelakangan ini pula tambah dua isu baharu, Tuan Yang di- Pertua.
Pertama, penyeludupan barangan bersubsidi seperti minyak masak dari Malaysia ke Thailand, penyeludupan. Apakah langkah-langkah tambahan kita daripada segi kawalan sempadan untuk penyeludupan barangan bersubsidi minyak masak?
Kedua, polisi ganja baharu di Thailand. Telah menjadi berita dunia bahawa negara Thailand telah memperkenalkan polisi liberalisasi terhadap ganja. Apakah implikasi polisi tersebut terhadap keselamatan sempadan di Malaysia? Ini kerana kita tahu bahawa ganja masih disenaraikan sebagai aktiviti menyalahi undang-undang di Malaysia.
Bagaimana daripada segi kawalan sempadan kita daripada segi memperketat cabaran-cabaran tersebut, cabaran penyeludupan barangan bersubsidi seperti minyak masak, petrol RON95, diesel, tong LPG, gula dan sebagainya? Apakah kesiapsiagaan kerajaan dalam kawalan sempadan darat Malaysia-Thailand berikutan polisi ganja baharu dan juga liberalisasi Thailand?
AKSEM diwujudkan dengan menaik taraf Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) yang bertanggungjawab untuk sempadan Malaysia-Thailand yang dibentuk melalui gabungan PDRM, Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia. Soalan saya, apakah yang terjadi dengan 900 lebih perjawatan UPP dan sama ada kebajikan mereka terjamin dan tidak diganggu selepas pembubaran?
AKSEM bercita-cita besar waktu penubuhan. Bukan sahaja bidang kuasa darat Malaysia-Thailand dan juga bidang kuasa Malaysia-Indonesia, Malaysia-Brunei di wilayah Sabah dan Sarawak di mana Pasukan Gerakan Am (PGA), PDRM serta Angkatan Tentera Malaysia. Soalan saya, apakah kemas kini Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang telah dirangka khasnya daripada segi kawalan sempadan? Soalan saya juga, apakah bentuk kawalan kerjasama sempadan darat antara Malaysia-Thailand, Malaysia- Singapura, Malaysia-Brunei dan Malaysia-Indonesia?
Soalan-soalan penting ini perlu diberikan penjelasan kerana pada hari ini kita akan cadangkan pembubaran satu agensi kawalan sempadan dan kita ingin menanyakan sama ada pembubaran ini ditukar penugasannya kepada PDRM, akan menjamin kawalan sempadan yang lebih baik daripada sebelum ini. Itulah persoalan yang saya kemukakan. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

No comments: